KUALA LUMPUR – Sejumlah 79 buah hotel di seluruh negara akan menawarkan promosi penginapan eksklusif dengan diskaun sehingga 70 peratus bersempena Sambutan Hari Pekerja Sedunia dan Festival Rain Rave Water Music 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei depan.
Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, promosi itu boleh ditempah mulai 29 April hingga 3 Mei ini, sekali gus memberikan pilihan menarik kepada pelawat yang merancang percutian singkat.
“Hotel-hotel yang mengambil bahagian turut menawarkan pelbagai pakej, termasuk kadar bilik istimewa serta pakej gabungan, bagi menyokong peningkatan perbelanjaan pelancongan di samping merangsang pergerakan pelancong ke destinasi-destinasi utama negara,” katanya.
Maklumat lanjut berkenaan tawaran oleh hotel-hotel yang terlibat boleh dilayari di: https://www.malaysia.travel/deals/world-labour-day-celebration-cum-rain-rave-watermusic-festival-2026.
Menurut kenyataan itu lagi, usaha kolaboratif antara sektor pelancongan mencerminkan pendekatan strategik dalam memperkukuh ekosistem pelancongan negara serta memperluas manfaat kepada penggiat industri melalui penganjuran acara berskala besar.
“Pelawat boleh menikmati tawaran ini dengan menggunakan kod promosi VM2026TWD ketika membuat tempahan melalui laman web rasmi hotel atau secara terus dengan hotel-hotel yang mengambil bahagian.
“Festival Rain Rave Water Music 2026 yang berlangsung selama tiga hari, menampilkan gabungan muzik, budaya dan gaya hidup kontemporari di tengah-tengah bandar.
“Festival ini menawarkan platform yang unik kepada pelawat antarabangsa untuk merasai sendiri kepelbagaian serta keunikan Malaysia,” jelasnya.
Tambah Tourism Malaysia, inisiatif berkenaan menyokong usaha berterusan Malaysia dalam memperkukuh sektor pelancongan negara serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pengalaman budaya yang unik menerusi VM2026.
Maklumat lanjut termasuk senarai hotel yang terlibat serta butiran pakej boleh didapati melalui kempen infografik rasmi atau di www.malaysia.travel. – MalaysiaGazette














