KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menghulurkan kurniaan peribadi bagi membantu keluarga yang terjejas dalam tragedi kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah.
Baginda bertitah, sumbangan akan disampaikan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) untuk meringankan beban keluarga-keluarga yang terlibat dalam tragedi berkenaan.
Perkara itu dikongsi menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Dalam pada itu, baginda juga menitahkan YSIJ menghubungi Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan sumbangan berkenaan dapat disalurkan kepada keluarga-keluarga yang terlibat.
“Ramai yang kehilangan tempat tinggal dalam tragedi ini.
“Saya mendoakan agar mangsa kebakaran diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan yang menimpa mereka,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office.
Terdahulu, kebakaran besar yang berlaku di perkampungan atas air Kampung Bahagia, Sandakan memusnahkan kira-kira 1,000 rumah, melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.
Susulan itu, sebanyak 1,912 mangsa daripada 385 keluarga yang terjejas dalam tragedi kebakaran itu ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS).
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan mangsa ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, Dewan SK Kampung Bahagia, Dewan Program Perumahan Rakyat Batu Sapi, SK Karamunting, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sapi, dan Dewan Sibuga. – MalaysiaGazette
















