KUALA LUMPUR – Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menjatuhkan hukuman ke atas pemain Al-Ahli, Ali Majrashi yang melakukan sepakan gunting hingga mencederakan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jairo Da Silva pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Jumaat lalu.
Majrashi yang dikenakan kad merah oleh pengadil digantung tiga perlawanan termasuk satu penggantungan automatik susulan dibuang padang ketika aksi berdepan JDT itu.
“Satu penggantungan dijalani bagi perlawanan ACLE antara Vissel Kobe melawan Al-Ahli Saudi FC pada 20 April (kelmarin). Dua perlawanan selebihnya akan dibawa ke hadapan mengikut Artikel 38.
“Majrashi dikenakan denda sebanyak AS$2,000 (kira-kira RM8,000). Denda itu perlu dibayar dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan ini, selaras dengan Artikel 11.3 Kod Tatatertib dan Etika AFC,” menurut keputusan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC.
Pada insiden yang berlaku pada minit ke-36 itu, Jairo dilihat seakan tidak sedarkan diri dan terbaring di atas padang selepas ditendang di bahagian muka oleh Majrashi yang cuba mengeluarkan bola dengan melakukan sepakan gunting.
Jairo kemudian dikejarkan ke hospital dan JDT dalam kenyataan selepas itu memaklumkan pemain berusia 34 tahun itu mengalami koyakan pada bahagian bibir serta menerima beberapa jahitan.
Dalam pada itu, kelab Al Ahli turut tidak terlepas daripada tindakan disiplin apabila didenda sebanyak AS$7,000 (RM27,674) atas kesalahan salah laku pasukan.
Hukuman tersebut membabitkan denda AS$3,500 (RM13,837) kerana melanggar Artikel 15 Manual Operasi Pertandingan AFC selepas pasukan itu menyebabkan kelewatan permulaan separuh masa kedua selama tiga minit dan 20 saat.
Ia merupakan kesalahan keempat yang dilakukan oleh kelab berkenaan dalam tempoh residivisme (pengulangan kesalahan). – MalaysiaGazette
















