KUALA LUMPUR – Penjaga gol Selangor FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman disahkan mengalami gegaran otak selepas terbabit dalam insiden perlanggaran dengan penyerang Terengganu FC (TFC), Romel Morales dalam aksi Liga Super, malam tadi.
Kelab itu bagaimanapun memaklumkan, pemain berusia 24 tahun itu kini berada dalam keadaan stabil dan sudah kembali bersama pasukan untuk pemantauan lanjut serta rawatan susulan.
“Pihak kelab ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai perubatan perlawanan serta pasukan perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Zainal Abidin (HSZA) atas tindakan pantas dan bantuan kecemasan yang diberikan,” kata kelab itu di Facebook di sini hari ini.
Sikh Izhan beraksi cemerlang dalam perlawanan itu sebelum insiden yang berlaku pada babak kedua perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menyaksikan Sikh Izhan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Tempatnya digantikan Azim Al Amin Kamaruddin pada minit ke-77 susulan insiden cemas itu.
Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan Gon pada sidang media selepas perlawanan berkata, beliau dimaklumkan Sikh Izhan berada dalam keadaan sedar dan sedang menerima rawatan di hospital. – MalaysiaGazette
















