KUALA LUMPUR – Konflik di Asia Barat tidak wajar dijadikan justifikasi untuk menaikkan tarif elektrik negara, tegas Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin.
Pengerusi Lajnah Pembangunan Modal Insan dan Tenaga Profesional Pas itu menegaskan, hujah kenaikan kos bahan api global akibat ketegangan geopolitik itu tidak mencerminkan realiti sebenar struktur tenaga Malaysia yang lebih bergantung kepada arang batu dan gas asli.
“Saya menegaskan bahawa hujah kenaikan kos bahan api global akibat konflik di Asia Barat adalah tidak mampan dan tidak menggambarkan realiti struktur tenaga negara yang sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasaran sering tersilap mengaitkan kenaikan harga minyak mentah dengan kos penjanaan elektrik, sedangkan profil tenaga Malaysia didominasi oleh arang batu yang diimport dari Indonesia dan Australia serta gas asli domestik.
“Konflik di Timur Tengah tidak mempunyai kaitan langsung terhadap rantaian bekalan dari rantau Asia-Pasifik ini. Sebagai pengeluar LNG yang signifikan, kebergantungan kepada sumber domestik seharusnya menjadi pelindung (hedge) semula jadi terhadap inflasi tenaga global, bukannya alasan untuk menaikkan tarif,” jelas beliau.
Mengulas pelaksanaan Automatic Fuel Adjustment (AFA) bermula 1 Julai tahun lalu, Khairil Nizam berkata, mekanisme itu tidak sepatutnya menjadi laluan automatik untuk memindahkan beban kos kepada rakyat setiap kali berlaku ketidaktentuan global.
“Saya berpendapat bahawa prinsip pengurusan risiko di bawah AFA sepatutnya menggunakan data unjuran yang lebih matang untuk menyerap kejutan jangka pendek, bukannya bertindak secara reaktif terhadap spekulasi harga minyak mentah yang tidak relevan dengan kos marginal gas dan arang batu kita,” tegasnya.
Beliau turut menekankan bahawa Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) yang ditubuhkan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 perlu berfungsi sebagai dana penampan sewaktu turun naik harga bahan api.
“Kenaikan bil dalam keadaan dana penampan masih wujud adalah satu langkah yang tidak efisien dari sudut pengurusan fiskal rakyat,” katanya lagi.
Tambah beliau, sebarang kenaikan tarif ketika ekonomi sedang dalam proses pemulihan akan memberi kesan rantaian kepada sektor perkilangan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekali gus meningkatkan tekanan inflasi dan mengurangkan kuasa beli rakyat.
“Konflik Asia Barat adalah faktor luaran yang tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membebankan struktur kos sara hidup domestik,” katanya. – MalaysiaGazette
















