KUALA LUMPUR – Persatuan Kanu Negeri Sembilan (NESCA) menyeru semua pihak agar bertenang dan mengutamakan muafakat susulan isu pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang hangat diperkatakan ketika ini.
Presidennya, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin menzahirkan rasa rendah hati menjunjung kasih ke bawah Istana Negeri Sembilan sambil menegaskan kepentingan pendekatan berhemah dalam menangani perkara berkenaan.
Beliau berkata, semua pihak wajar bermuhasabah dan kembali kepada asas perpaduan serta kesepakatan demi menjaga keharmonian negeri.
“Dalam keadaan ini, marilah kita semua bertenang dan bermuhasabah diri. Ingatlah pesan adat kita, bulat kata kerana muafakat. Hanya dengan muafakat kita akan jadi kuat, kerana kita ini bagai aur dengan tebing, tak dapat dipisahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim berpandangan tindakan Undang Yang Empat menurunkan takhta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai sah.
Bagaimanapun, Rais yang juga merupakan pengkaji adat perpatih menyarankan agar krisis berkenaan diselesaikan secara lunak untuk tidak mencemarkan adat dan nama mana-mana pihak.
Megat D. Shahriman turut menekankan kepentingan adat dan tradisi sebagai tunjang kekuatan masyarakat Negeri Sembilan yang berteraskan nilai muafakat.
“Adat bertempat, lembaga bernasab, Biarlah ukur pada tukang; Kalau muafakat menjadi asas, Adat bersendi pasti tak goyang,” katanya lagi.
Beliau turut merafak sembah memohon agar Ayahanda-Ayahanda Undang Yang Empat serta Ayahanda Tunku Besar Tampin sudi duduk semeja bagi mencari kata sepakat secara terbuka dan penuh hikmah.
“Dengan penuh takzim, patik merafak sembah memohon agar Ayahanda-Ayahanda Undang Yang Empat serta Ayahanda Tunku Besar Tampin sudi duduk semeja, berbincang dengan hati yang terbuka demi mencari kata sepakat,” ujarnya.
Tambah beliau, keutamaan harus diberikan kepada adat, syarak dan kesejahteraan rakyat supaya segala kemelut dapat diselesaikan dengan penuh kebijaksanaan.
“Semoga segala yang kusut dapat dirungkaikan dengan hikmah dan kasih sayang, demi menjaga maruah Istana dan keharmonian Negeri Sembilan yang kita cintai. Daulat Tuanku,” katanya.
Sebelum ini, Undang Yang Empat mengisytiharkan memecat Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11 berkuat kuasa serta-merta.
Pengisytiharan itu yang dibacakan oleh bekas Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak dibuat di Balai Undang Luak Sungei Ujong di Ampangan kira-kira pukul 6.15 petang, Isnin lalu.
Yang turut hadir, Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.
Tindakan itu dibuat mengikut Perkara 10 (1)(b) UUTKNS 1959. – MalaysiaGazette
















