KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon menggesa kerajaan menamatkan ‘layanan dua darjat’ dalam dasar pengambilan kontrak sektor kesihatan awam, sambil memberi amaran negara berisiko kehilangan lebih ramai ahli farmasi.
Hang Soon berkata, jika pegawai perubatan diberikan laluan ke jawatan tetap, peluang sama perlu diberikan kepada ahli farmasi, jururawat, doktor gigi dan profesion kesihatan lain.
“Tidak wajar hanya satu kumpulan diberi jaminan masa depan, sedangkan yang lain terus terperangkap dalam ketidaktentuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Malaysia sudah pun berdepan isu ‘brain drain’ serius dalam sistem kesihatan awam apabila tenaga mahir berhijrah ke sektor swasta atau luar negara akibat tekanan kerja dan kekangan kerjaya.
Menurutnya, keadaan itu boleh menjadi lebih parah jika ahli farmasi terus dipinggirkan melalui sistem kontrak yang tidak adil.
“Ahli farmasi bukan sekadar pelengkap, mereka komponen penting dalam rawatan — memastikan ubat diberi dengan selamat, memantau interaksi ubat dan memberi kaunseling kepada pesakit,” ujarnya.
Tambahnya, kekurangan ahli farmasi berpengalaman boleh memberi kesan langsung kepada pesakit, termasuk tempoh menunggu lebih lama dan pengurangan khidmat nasihat berkaitan ubat.
“Ini bukan sekadar isu pekerjaan, tetapi soal keselamatan dan kualiti rawatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menyediakan laluan tetap yang telus kepada ahli farmasi, menyerap tenaga kontrak berpengalaman serta menambah jawatan tetap berdasarkan keperluan sebenar fasiliti kesihatan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan penambahbaikan struktur kenaikan pangkat, insentif kawasan pedalaman serta pelan tenaga kerja kesihatan jangka panjang yang lebih menyeluruh.
“Kerajaan tidak boleh bercakap tentang memperkukuh sistem kesihatan jika satu profesion penting terus diketepikan,” tegasnya lagi.
Beliau menegaskan, kegagalan menangani isu tersebut boleh melemahkan sistem kesihatan negara secara berperingkat akibat kehilangan bakat yang sepatutnya boleh dielakkan. -MalaysiaGazette
















