Antara barangan yang dirampas selepas polis menahan seorang lelaki di kawasan Tanjung Kupang, Iskandar Puteri semalam.

ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah curi komponen motosikal dan dadah diberkas polis sekali lagi selepas terlibat aktiviti sama di kawasan Tanjung Kupang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, M Kumarasan berkata, penangkapan tersebut turut berjaya menyelesaikan tiga kes kecurian komponen motosikal di Tanjung Kupang.

Beliau memberitahu, lelaki itu berjaya diberkas selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 39 tahun pukul 12.59 tengah hari semalam.

“Pengadu mendapati beberapa komponen motosikal miliknya yang diletakkan di tempat letak kenderaan sebuah apartmen di Tanjung Kupang hilang dipercayai dicuri pukul 11 pagi hari sama.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun pada pukul 6.25 petang hari sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berikutan penahanan suspek, polis merampas beberapa komponen motosikal antaranya sepasang cermin sisi pandang belakang, satu master pump klac, satu master pump brek, enam brek kaliper pelbagai jenama serta peralatan seperti set spanar, allen key dan gunting wayar.

Pihaknya turut merampas sepasang pakaian dipercayai digunakan suspek ketika melakukan kegiatan jenayah.

Kumarasan berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah, namun hasil saringan awal air kencing suspek negatif dadah.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast