PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan menetapkan 13 Mei ini bagi mendengar permohonan semakan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta atas kesalahan rasuah.
Tarikh itu diperoleh hasil semakan dalam laman web kehakiman yang kemudian disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dan peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat kepada pihak media hari ini.
Mohd. Isa, 77, memfailkan notis usul pada 4 Mac lalu di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 melalui firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memohon mengetepikan keputusan panel terdahulu diketuai oleh Datuk Nordin Hassan yang mengembalikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta terhadapnya atau dua tahun penjara sekiranya gagal membayar denda.
Mohd Isa ketika ini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 yang membebaskannya daripada sembilan pertuduhan rasuah.
Kesemua kesalahan rasuah RM3.09 juta itu berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman tersebut selepas mendapati Mohd. Isa bersalah terhadap semua pertuduhan.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu disabitkan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) ketika itu, Ikhwan Zaidel, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip.
Bayaran itu sebagai dorongan bagi meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















