Mohamed Sukri Omar

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor mengecam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Seri Kembangan, Wong Siew Ki berhubung isu penternakan babi yang dibangkitkan dalam sidang DUN.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, cadangan Siew Ki itu tidak boleh diterima dan jelas bersifat biadab serta tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan.

Menurut beliau, titah Sutan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah jelas bahawa tiada lagi penternakan babi di Selangor, dan keperluan bekalan hendaklah dipenuhi melalui import.

Malah, tambahnya, Kerajaan Negeri Selangor juga telah memutuskan untuk tidak lagi meneruskan pemberian lesen penternakan babi di semua daerah, menutup ladang sedia ada secara berperingkat dan memenuhi keperluan tempatan melalui import sepenuhnya.

“Yang dibangkitkan bukan sekadar soal teknologi, tetapi soal sikap.

“Apabila titah Tuanku sudah jelas bahawa tiada lagi penternakan babi di Selangor, maka cubaan menghidupkan semula cadangan itu, walaupun dibalut dengan istilah moden seperti zero discharge, sistem tertutup dan biogas, tetap memperlihatkan sikap biadab serta tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas cadangan Siew Ki dalam sidang DUN Selangor supaya kerajaan negeri dan pelabur mempertimbangkan penerokaan sistem penternakan babi yang tertutup dan moden di negeri itu, termasuk konsep zero discharge serta teknologi kitar semula biogas kepada elektrik.

Sementara itu, Mohamed Sukri berkata, dalam sebuah negeri yang menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan, setiap wakil rakyat sepatutnya memahami bahawa kebebasan berhujah di dalam sidang DUN bukan lesen untuk membangkitkan semula perkara yang telah dimuktamadkan pada peringkat tertinggi negeri.

Apatah lagi, tambahnya, apabila isu itu menyentuh adab terhadap institusi diraja, keharmonian masyarakat majmuk, sensitiviti awam, alam sekitar dan ketenteraman negeri.

Sehubungan itu, beliau mendesak Speaker DUN Selangor dan jawatankuasa berkaitan meneliti perkara tersebut dengan serius serta mempertimbangkan tindakan tatatertib yang tegas terhadap Siew Ki.

Katanya, ia termasuk penggantungan daripada sidang DUN sehingga 12 bulan, sekiranya ADUN Seri Kembangan berkenaan didapati benar-benar membangkitkan cadangan yang bertentangan dengan titah Sultan Selangor dan mencemarkan adab terhadap institusi Raja Berperlembagaan.

“Pada pandangan saya, perkara seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh maruah Dewan, tertib kenegaraan dan penghormatan kepada institusi negeri.

“Hormatilah titah Tuanku. Hormatilah institusi Raja Berperlembagaan. Jangan berselindung di sebalik istilah teknikal untuk menghidupkan semula sesuatu yang telah jelas ditolak oleh pendirian tertinggi negeri,” katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur sikap segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati serta enggan mematuhi titah larangan penternakan babi di negeri ini.

Baginda bertitah, meskipun arahan telah dikeluarkan sebelum ini, masih kedengaran rungutan yang mempertikaikan keputusan berkenaan.

“Beta telah memberikan faktor-faktor kenapa ternakan babi tidak sesuai di negeri Selangor antaranya faktor tanah yang tidak mencukupi dan ternakan babi diadakan di kawasan penempatan penduduk yang padat dengan umat Islam.

“Di samping itu isu pencemaran sungai dan udara juga menjadi faktor kenapa ternakan babi di negeri Selangor tidak sesuai,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan DUN Selangor, Isnin lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast