SEPANG – Berkat kesabaran seorang ibu tunggal akhirnya terbalas apabila menerima panggilan menjadi ‘duyufurrahman‘ (tetamu Allah SWT) untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Peluang itu disifatkan sebagai ‘rezeki terpijak’ buat Samsiah Ali, 71, selepas sekian lama menanti peluang untuk menunaikan rukum Islam kelima di tanah suci.
Ibu kepada lima anak itu berkata, dia mula mendaftar dan melakukan simpanan di Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 2009 menerusi hasil perniagaan nasi campur yang diusahakan sejak sekian lama.
“Saya berasa sangat terharu kerana sudah lama menunggu iaitu sejak 2009, dapat panggilan dari TH paling seronok, hanya Allah SWT yang tahu. Saya serah diri kepada-Nya sebab Dia jemput saya ke sana.
“Ya, ini hasil titik peluh saya dengan berniaga. Saya mempunyai lima orang anak, namun seorang daripadanya sudah meninggal dunia.
“Saya akan tunaikan haji seorang diri dan Alhamdulilah terpilih menerusi tawaran simpanan minimum RM15,000 bagi golongan B40,” katanya dalam nada syukur kepada pemberita pada Majlis Pelepasan Jemaah Haji di Pusat Konvensyen Movenpick Hotel di sini, hari ini.

Tambah Samsiah, beberapa rakannya yang lain turut menjadi tetamu Allah SWT, namun menerusi rayuan dengan kos bagi jemaah muassasah sebanyak RM33,000.
Ujarnya, dia percaya dengan berkat kesabaran, Allah SWT akan membuka jalan, termasuk mengurniakan insan yang sudi membantunya sepanjang perjalanan ibadah tersebut.

Sementara itu, seorang lagi ibu tunggal berusia 46 tahun turut menzahirkan rasa syukur apabila berpeluang menjadi tetamu Allah SWT bagi menunaikan rukun kelima itu bersama anak dan bapanya.
Suji Rahini Abd Rahman yang merupakan seorang guru berkata, peluang mengerjakan haji bersama ahli keluarga merupakan rezeki yang tidak dimiliki oleh semua orang.
“Saya pertama kali menunaikan haji bersama anak dan abah. Kami mula daftar pada 2009 dan Alhamudlilah tahun ini dipanggil menjadi tetamu Allah SWT.
“Sepatutnya saya dan anak pergi dengan kos RM33,000 tapi kerana dia masih belajar dan saya membuat rayuan, dia dapat tawaran golongan B40 bersama abah.
“Saya juga sedih kerana pada asalnya kami pergi berempat dengan ibu, tapi disebabkan masalah kesihatan, hanya kami bertiga dapat pergi,” ujarnya.

Tambahnya, dia bersyukur apabila anaknya yang berusia 18 tahun dapat menemani mereka memandangkan ayahnya sudah berumur 72 tahun dan memerlukan peneman di tanah suci.
“Alhamdulilah, memang sudah niat saya untuk membawa anak menemani saya dan abah ke Tanah Suci.
“Kepada mereka yang ingin menunaikan haji, daftarlah segera supaya dapat pergi dalam usia yang muda. Jika tunggu waktu berumur, mungkin berisiko dari segi faktor kesihatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun bersama adik-beradiknya kelihatan sebak apabila ibu bapa mereka turut terpilih sebagai ‘duyufurrahman‘ pada tahun ini.
Menurut Nuramni Muhammad Shafie, anak kedua daripada empat beradik hanya berharap kedua ibu bapanya dapat pergi dan pulang dari Tanah Suci dalam keadaan sihat.
“Sedih apabila mendengar umi dan ayah dapat pergi haji, manakala saya dan abang perlu jaga adik-adik. Saya harap umi dan ayah selalu sihat, balik tau, jangan tak balik.
“Mereka ada tinggal pesan supaya kami jangan tinggal solat, doa supaya umi dan ayah dapat balik, semoga sihat selalu.
“Semoga umi dan ayah dipermudahkan urusan di sana, dan mereka juga dapat menjaga nenek dan atuk di sana,” luahnya dalam nada sebak.
Difahamkan, mereka antara 356 jemaah yang akan menaiki pesawat KT018-SV5015 untuk ke Tanah Suci yang akan bertolak pada pukul 5.35 petang ini.
Untuk rekod, seramai 31,600 jemaah Malaysia terpilih mengerjakan ibadah rukun Islam kelima itu pada musim 1447 Hijrah. – MalaysiaGazette
















