KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah syarikat pelaburan bersama bekas isterinya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu pelaburan perniagaan minyak diesel membabitkan kerugian RM725,000.
Shamsul Rijal Mohd Yussof, 74, dan Hamidah Ab Hamid, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan dua hakim berasingan.
Di hadapan Hakim Azrul Darus, Shamsul Rijal didakwa memperdaya seorang lelaki untuk melabur dalam perniagaan diesel dengan menjanjikan pulangan keuntungan.
Perbuatan itu mendorong mangsa memindahkan RM725,000 ke akaun bank syarikat Spectrum Global Sdn Bhd pada 26 Februari 2024 di Desa Sri Hartamas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, tertuduh turut didakwa menerima wang tunai RM20,000 yang disyaki hasil aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Tun Razak pada 15 Mac 2024.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda.
Sementara itu, di hadapan Hakim Norma Ismail, Hamidah didakwa menerima RM130,000 daripada akaun syarikat sama di sebuah bank di Suria KLCC antara 6 hingga 29 Mac 2024.
Kedua-dua tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan bersama menerima wang berjumlah RM122,000 yang disyaki hasil aktiviti haram pada 26 Februari 2024.
Mahkamah membenarkan Shamsul Rijal diikat jamin RM50,000, manakala Hamidah RM20,000, dengan sebutan kes ditetapkan pada 8 Jun depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana R Azmi dan Muhammad Zulhilmi Abd Latif.
Shamsul Rijal diwakili peguam Farhanna Roslan, manakala Hamidah tidak diwakili peguam. -MalaysiaGazette















