GEORGE TOWN – Dua lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegara mereka di kawasan logistik Centre Gat, Lebuh Macallum di sini, bulan lalu.
Kedua-dua tertuduh, Myat Thu Khaing, 38, dan Sein Win Aung, 40, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Myanmar di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa membunuh seorang lelaki warga Myanmar, Myo Zaw Hlaing pada 9 Mac lalu antara jam 7 malam hingga 9 malam di kawasan logistik Centre Gat, Lebuh Macallum di sini.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin, manakala tiada peguam mewakili kedua-dua tertuduh.
Mahkamah kemudian tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi laporan patalogi.
Media pada 9 Mac lalu melaporkan seorang lelaki warga asing ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan di kepala yang dipercayai akibat dipukul menggunakan objek tumpul.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, bedah siasat yang dijalankan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang ke atas mangsa mendapati punca kematian akibat trauma hentakan kuat di kepala.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette
















