Logo BestiNet

KUALA LUMPUR — Bestinet Sdn Bhd, syarikat penyedia Sistem Pengurusan Terpusat Pekerja Asing (FWCMS) bagi pengurusan pekerja asing tampil mempertahankan sistem Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) dengan mendakwa ia berjaya memecahkan kartel serta menutup kebocoran kewangan bernilai berbilion ringgit dalam pengurusan pekerja asing.

Menerusi kenyataan melalui firma guamannya, Lui & Bhullar, syarikat itu menegaskan kritikan terhadap FWCMS tidak lagi bersifat perbahasan dasar yang sihat, sebaliknya didakwa didorong kepentingan politik.

“Penentangan ini bukanlah berasaskan prinsip tadbir urus yang baik, sebaliknya merupakan usaha mempertahankan ekosistem kewangan yang telah lama meraih keuntungan daripada eksploitasi pekerja migran.

“Bestinet akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap sebarang kenyataan palsu, mengelirukan atau berunsur fitnah,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut Bestinet, sebelum FWCMS diperkenalkan, sistem pengurusan pekerja asing di negara ini bersifat manual, berpecah-pecah dan terdedah kepada pelbagai bentuk penyalahgunaan termasuk pemalsuan dokumen dan manipulasi kuota.

“Sebelum FWCMS diperkenalkan, ekosistem pengurusan pekerja asing di Malaysia bersifat manual, berpecah-pecah dan terdedah kepada penyalahgunaan, tanpa rekod digital, jejak audit dan akauntabiliti yang jelas. Kementerian beroperasi secara silo tanpa integrasi, manakala majikan terpaksa beratur seawal jam 3 pagi di kaunter kerajaan, sekali gus membuka ruang kepada bayaran tidak sah.

“Dalam kebanyakan kes, laporan perubatan dan dokumen insurans dipalsukan. Terdapat juga kes pekerja menghantar individu lain sebagai pengganti untuk pemeriksaan kesihatan. Permohonan kuota dimanipulasi secara manual melalui pakatan antara majikan, ejen dan orang tengah, mewujudkan permintaan palsu untuk mengaut keuntungan daripada pekerja yang sering terjerat dalam hutang,” jelasnya.

Menurut syarikat itu, pelaksanaan FWCMS telah mengubah landskap tersebut dengan memperkenalkan sistem digital bersepadu yang meningkatkan ketelusan serta akauntabiliti.

“FWCMS merupakan platform tadbir urus rentas sempadan dengan 15 modul yang menghubungkan 15 negara sumber tenaga kerja, 232 pusat perubatan bertauliah serta semua agensi kerajaan berkaitan dalam satu ekosistem digital bersepadu,” katanya.

Dalam masa sama, Bestinet menafikan dakwaan peningkatan kos dan menjelaskan struktur baharu yang dirunding bersama UKAS telah menyerap pelbagai caj berasingan sebelum ini sekali gus mengurangkan kos keseluruhan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast