GEORGE TOWN – Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menggesa hasil siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) berhubung insiden anggota polis didakwa menggunakan kekerasan ketika tangkapan suspek di Kulim, Kedah didedahkan kepada umum sebaik sahaja siasatan selesai.
Pengerusinya, L. Francis Xavier berkata, ketelusan berhubung hasil siasatan itu penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis terus terpelihara, selain menjamin akauntabiliti terhadap sebarang salah laku.
Menurut beliau, pihaknya mengambil maklum kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang meminta semua pihak memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan, termasuk penjelasan bahawa suspek dipercayai telah melanggar motosikal anggota sebelum ditahan.
Namun, jelasnya, tindakan kekerasan seperti yang tular dalam video berkenaan tetap menimbulkan persoalan serius mengenai tahap penggunaan kekerasan yang dibenarkan serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) oleh anggota penguat kuasa.
“Walaupun anggota terlibat telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sementara siasatan oleh JIPS dijalankan, langkah itu tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian muktamad.

“Sehubungan itu, kami menggesa hasil siasatan oleh JIPS mesti didedahkan kepada umum sebaik ia selesai dan tidak terhenti sekadar tindakan dalaman, demi memastikan ketelusan serta mengekalkan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis.
“Ketika ini, semua pihak wajar memberi ruang kepada siasatan dijalankan secara menyeluruh, namun pada masa sama, akauntabiliti terhadap sebarang salah laku tidak boleh dikompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihaknya juga menggesa agar garis panduan berkaitan penggunaan kekerasan oleh anggota polis diperjelaskan semula serta latihan berterusan diperkukuh bagi mengelakkan insiden sama berulang.
“Dalam masa sama, hak anggota keselamatan untuk mempertahankan diri juga perlu diambil kira, namun ia mesti seimbang dengan prinsip hak asasi manusia dan undang-undang,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
JIPS siasat kes polis lakukan kekasaran terhadap suspek di Kulim
Media pada Selasa lalu melaporkan KDN menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan atau menghukum mana-mana pihak hanya berdasarkan rakaman video pendek berhubung insiden tular membabitkan dakwaan seorang anggota polis memijak kepala suspek di Kulim, Kedah.
Saifuddin Nasution berkata, rakaman yang tersebar di media sosial hanya memaparkan detik singkat tanpa menggambarkan keseluruhan situasi ketika kejadian berlaku.
Selain itu, polis turut mengesahkan anggota terbabit telah dipindahkan ke bahagian lain sementara menunggu siasatan pihak JIPS. – MalaysiaGazette
















