KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita lebih RM18.3 juta aset tak alih berkait kes penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menerusi video Tik Tok rasmi SPRM, suruhanjaya itu turut memaparkan nilaian dan aset yang telah diambil tindakan dalam operasi berkenaan.

Ia membabitkan 14 hartanah yang terdiri daripada tujuh unit rumah kediaman, tiga unit ruang pejabat dam empat lot tanah di beberapa lokasi.

Tambah hantaran itu, berdasarkan nilai pasaran semasa dan keseluruhan aset yang disita dianggarkan berjumlah RM18.36 juta.

Langkah tersebut dilaksanakan bagi membantu siasatan lanjut berkaitan dakwaan penyelewengan dana NGO terbabit.

Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor membawa Timbalan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersama seorang pengarah syarikat untuk proses reman dalam siasatan penyelewengan dana zakat RM230 juta ketika di Mahkamah Majistret Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 22 APRIL 2026.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM telah menahan tiga individu termasuk timbalan pengerusi NGO terbabit berusia lingkungan 50- hingga 60-an.

Siasatan awal mendapati, kesemua suspek yang juga dua daripadanya merupakan pengarah syarikat disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2018 hingga 2024.

Siasatan turut mendapati, timbalan NGO tersebut telah memindahkan RM230 juta tersebut ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan juga tujuan peribadi.

Antara wang tunai dan jam tangan berjenama yang dirampas SPRM.

Sumber memaklumkan, siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO tersebut merupakan sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan yang memerlukan.

Dalam operasi itu, SPRM turut menyita 18 unit kenderaan mewah antaranya Porsche dan Mercedes; rumah juga hartanah bernilai kira-kira RM11 juta serta pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama.

Selain itu, SPRM turut membekukan 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast