Straits of Hormuz

MOSCOW – Tehran telah memberikan pengecualian kepada beberapa buah negara, termasuk Rusia, berhubung yuran transit bagi laluan melalui Selat Hormuz, menurut Duta Iran ke Moscow, Kazem Jalali, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Timbalan Speaker Pertama Parlimen Iran, Hamid Reza Haji Babaei pada Khamis berkata Iran telah mula menerima hasil daripada yuran lintasan Selat Hormuz buat julung kalinya, dengan dana berkenaan dipindahkan ke bank pusat negara itu.

“Buat masa ini, kami telah memberikan pengecualian kepada beberapa buah negara, namun saya tidak pasti apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Bagaimanapun, Kementerian Luar kami sedang berusaha untuk melaksanakan pengecualian yang direncanakan bagi negara-negara sahabat, seperti Rusia,” kata duta itu ketika ditanya sama ada Iran memberikan pengecualian terhadap tarif Selat Hormuz.

Iran mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif berkenaan susulan serangan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel, dengan memetik kos yang berkaitan dengan jaminan keselamatan di Selat Hormuz.

Iran kini telah menutup Selat Hormuz sehingga sekatan laut oleh AS ditarik balik sepenuhnya.

Serangan AS dan Israel terhadap Iran secara efektif telah menyekat Selat Hormuz, yang merupakan laluan utama bagi bekalan minyak dan gas asli cecair dari negara-negara Teluk Parsi ke pasaran global, selain turut menjejaskan eksport serta pengeluaran minyak di rantau berkenaan. – BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast