PHNOM PENH – Kerajaan Kemboja pada Jumaat mengulangi komitmen teguhnya untuk membanteras rangkaian penipuan dalam talian, dengan menyatakan bahawa negara itu telah menyerbu lebih 250 pusat penipuan di seluruh negara dalam tempoh sembilan bulan lepas, lapor Xinhua.
Negara Asia Tenggara itu turut menutup 91 kasino yang didapati menjalankan aktiviti penipuan dalam talian, menurut kenyataan kerajaan.
“Pihak berkuasa Kemboja telah menjalankan prosedur pengusiran terhadap seramai 13,039 warga asing daripada 33 kewarganegaraan berbeza yang terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi: “Dari pertengahan Januari hingga 19 April 2026, seramai 241,888 individu telah meninggalkan Kemboja secara sukarela.”
Kemboja menegaskan bahawa usaha memerangi penipuan dalam talian merupakan satu ikhtiar jangka panjang yang memerlukan penglibatan semua pihak berkepentingan, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Sehubungan itu, kerajaan menggesa orang ramai dan komuniti antarabangsa untuk mengiktiraf serta menyokong usaha aktif dan konkrit negara itu dalam menangani isu berkenaan. – BERNAMA-XINHUA
















