MCMC rakam percakapan individu terkait isu bahan api diesel kepada Filipina. (GAMBAR MCMC). 24 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini merakam percakapan seorang individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan bahan api diesel kepada Filipina.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan, individu berkenaan yang ditemani oleh peguam hadir ke ibu pejabat MCMC di Cyberjaya dekat sini untuk memberi keterangan.

Pada masa yang sama, MCMC turut menyita satu telefon bimbit dan satu kad SIM yang disyaki digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut bagi membantu proses siasatan.

“Tindakan ini dibuat berpandukan kepada Seksyen 248, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujar kenyataan menerusi laman Facebook.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan saluran digital untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengelirukan orang ramai.

Sehubungan dengan itu, tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta menjejaskan ketenteraman awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast