BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatat satu lagi pencapaian penting di peringkat antarabangsa apabila disenaraikan dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia menerusi Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2026, dengan menduduki tempat ke-87.
Pencapaian yang dikeluarkan oleh THE pada 23 April 2026 itu merupakan kedudukan terbaik universiti berkenaan sejak 2016.
Kejayaan ini mencerminkan peningkatan berterusan UKM dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, memperhebat penyelidikan berimpak tinggi serta memperluas
jaringan kerjasama antarabangsa.
Penarafan THE Asia University Rankings 2026 menilai institusi pengajian tinggi berdasarkan 18 indikator utama meliputi aspek pengajaran, penyelidikan, impak penyelidikan, kerjasama industri dan pengantarabangsaan.
Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sufian Jusoh berkata, pencapaian itu adalah hasil komitmen dan usaha kolektif seluruh warga universiti dalam memperkukuh kualiti akademik serta kecemerlangan penyelidikan.
“Alhamdulillah, pencapaian ini membuktikan UKM berada di landasan yang kukuh dalam usaha memperkasa kecemerlangan global.
“Kedudukan ini mencerminkan keupayaan, dedikasi dan komitmen seluruh warga UKM dalam memastikan universiti terus relevan, berdaya saing serta memberi impak bermakna kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berkata, UKM akan terus mempergiat usaha memperkukuh agenda pengantarabangsaan, meningkatkan kualiti penyelidikan dan memperluas kerjasama strategik
dengan industri serta institusi antarabangsa.
Menurutnya, pencapaian itu adalah selari dengan pelaksanaan TEKAD 57 yang merupakan kerangka strategik baharu universiti itu untuk menggerakkan hala tuju UKM bagi tempoh 2026 hingga 2030.
“TEKAD 57 akan menjadi pemacu penting dalam memperkukuh keupayaan UKM sebagai universiti yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan, tetapi juga signifikan peranannya dalam pembangunan negara serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Kejayaan itu turut dilihat sebagai manifestasi komitmen berterusan UKM dalam memperkasa kualiti pendidikan tinggi, memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi serta meningkatkan keserlahan universiti di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette
















