Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Infrastruktur sistem digital Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sudah siap sepenuhnya untuk menerima daftar maklumat pekerja gig daripada penyedia platform bagi tujuan caruman secara automatik.

Bagaimanapun, proses ‘on boarding’ ketika ini hanya membabitkan sekitar dua peratus daripada anggaran keseluruhan 1.2 juta pekerja gig yang sebelum ini dilaporkan di Malaysia.

Sehubungan itu, PERKESO menerusi kenyataan hari ini menggesa penyedia platform untuk segera menyelaraskan sistem dan mengemukakan daftar maklumat pekerja masing-masing.

Perkeso

“Langkah ini bukan sekadar keperluan untuk mematuhi Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), malah ia tindakan kritikal dalam menjamin perlindungan sosial yang konsisten dan berterusan kepada pekerja gig.

“Hal ini memandangkan pekerja gig sentiasa terdedah kepada risiko kemalangan semasa mencari rezeki, justeru sebarang kelewatan dalam integrasi sistem bakal memberi implikasi terhadap kelangsungan pendapatan sekiranya ditimpa bencana kerja,” katanya.

Tambahnya, rentetan kegusaran disuarakan Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM), PERKESO bersedia mengambil pendekatan lebih tegas melalui tindakan penguatkuasaan sekiranya penyedia platform masih berlengah dalam pematuhan Akta 872.

Tegasnya, penyedia platform wajar menyediakan perlindungan keselamatan sosial yang merupakan hak asasi kepada pekerja, malah jaminan sedemikian berupaya memastikan kelestarian operasi industri gig.

“Perlindungan keselamatan sosial bukan sekadar tuntutan perundangan, sebaliknya satu amanah besar untuk menjaga insan yang banyak menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast