Fadillah (empat dari kanan) dan Ab Rauf (tiga dari kiri) melakukan gimik perasmian Majlis Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2026 Peringkat Kebangsaan di Dataran Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka hari ini.

MELAKA – Kerajaan melancarkan Dasar Air Negara sebagai langkah strategik memperkukuh tadbir urus sektor air secara lebih menyeluruh, termasuk menangani isu kadar air tidak berhasil (NRW) yang masih tinggi di beberapa negeri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dasar berkenaan merangkumi keseluruhan kitaran pengurusan air daripada sumber hingga ke pengguna, selain memperkemas penyelarasan antara Putrajaya, negeri serta pemain industri.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, pengurangan NRW menjadi antara keutamaan utama memandangkan kadar purata nasional ketika ini masih sekitar 33.4 peratus berbanding sasaran 28 peratus.

Fadillah ketika berucap pada Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2026 Peringkat Kebangsaan di Dataran Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka hari ini.

“Sasaran kita ialah untuk menurunkan kadar NRW kepada 28 peratus, namun ketika ini purata nasional masih sekitar 33.4 peratus dan ada negeri yang lebih tinggi iaitu 40 peratus dan ke atas.

“Sebab itu kita apa kita buat ialah dengan menyediakan geran kepada negeri yang mencatatkan NRW pada tahap 40 peratus ke atas.

“Antara negeri yang masih merekodkan kadar NRW tinggi adalah negeri-negeri di Pantai Timur, selain Perlis, Kedah, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Fadillah (empat dari kanan) dan Ab Rauf (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima anugerah pada Majlis Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2026 Peringkat Kebangsaan di Dataran Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2026 Peringkat Kebangsaan bertemakan “Air Milik Semua” di Dataran Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kadar NRW yang tinggi memberi kesan langsung kepada kecekapan sistem agihan air serta menyebabkan kerugian sumber yang telah dirawat dengan kos tinggi.

Fadillah ketika berucap pada Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2026 Peringkat Kebangsaan di Dataran Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka hari ini.

Sehubungan itu, katanya, PETRA komited memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri bagi menurunkan kadar berkenaan melalui penggunaan teknologi pintar, pemantauan berterusan serta pelaksanaan projek infrastruktur lebih cekap.

Sementara itu, beliau memaklumkan sehingga 6 April lalu, sebanyak 21 projek berkaitan air bernilai RM3.1 bilion telah diluluskan di Melaka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan Ke-13, dengan peruntukan RM274 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast