Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada sidang media selepas Perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG) di Gombak, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 29 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bekerjasama dengan pihak polis trafik mengadakan sekatan jalan raya petang ini susulan program konvoi motosikal ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan.

Sambil menyifatkan penganjuran program itu satu perbuatan sangat tidak bertanggungjawab, Anthony Loke turut mengarahkan mua motosikal yang memasuki kawasan LTSIP diperiksa termasuk motosikal mana-mana wakil rakyat.

Tegas beliau, lapangan terbang merupakan kawasan strategik dan keselamatan yang perlu dipelihara sepanjang masa untuk memastikan perjalanan penumpang yang lancar dan tidak terganggu.

“Sekiranya terdapat sebarang kesesakan yang menyebabkan penumpang terlepas penerbangan mereka, adakah pihak penganjur bertanggungjawab untuk membayar pampasan tiket penerbangan mereka?

“Sebarang konvoi bermotor juga sepatutnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

“Adakah pihak penganjur telah mendapat kelulusan?” katanya menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.

Poster program konvoi motosikal ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan yang tular di media sosial.

Terdahulu, media melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud memaklumkan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan akan menganjurkan konvoi motosikal dan Lepak Anak Muda bersama beberapa wakil rakyat hari ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, katanya, konvoi itu akan bermula selepas solat Asar di Masjid Muhammadi dari Kota Lama menuju ke LTSIP.

Sebelum ini, tular di media sosial penunggang motosikal atau mat rempit menjadikan lokasi LTSIP itu tempat berkumpul sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast