KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang merangkul emas acara keirin lelaki pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026.
Menurut Perdana Menteri, Rakyat Malaysia berbangga dengan kejayaan itu.
“Tahniah buat Dato’ Azizulhasni Awang atas kejayaan gemilang merangkul emas acara keirin di Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di bumi Malaysia.
“Rakyat Malaysia berbangga dengan kejayaan ini!” katanya ringkas menerusi laman sosial Facebooknya malam ini, yang turut berkongsi video kejayaan Azizulhasni dalam perlumbaan itu.

Terdahulu, Azizulhasni yang diberi julukan “The Pocket Rocketman” mencipta sensasi selepas menjuarai acara keirin lelaki pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai di sini.
Azizulhasni memanfaatkan sokongan padu penyokong untuk mempamerkan kayuhan bertenaga, sekali gus muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat dan menggegarkan velodrom dengan sorakan gemuruh.
Persembahan cemerlang pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menyaksikan beliau menewaskan pencabar utama yang juga juara dunia Harrie Lavreysen dari Belanda di tempat kedua sementara wakil Trinidad Dan Tobago Nicholas Paul terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.
Kejayaan itu merupakan kemenangan kedua Azizulhasni dalam siri Piala Dunia musim ini selepas turut menjuarai acara sama di Perth, Australia pada Mac lepas. – MalaysiaGazette
















