Presiden Parti Pribumi (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap ketika Konvensyen BERSATU Selangor di IDCC Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 April 2026.

SHAH ALAM – Kemelut yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri dan kawasan susulan pemecatan dan peletakan jawatan pemimpin parti di peringkat akar umbi kini pulih sepenuhnya.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan itu adalah hasil tindakan bijak yang diambil barisan kepimpinan parti peringkat pusat membuktikan parti serius untuk mentadbir supaya parti bertambah kukuh dan kuat.

“Tindakan pantas dan cepat diambil barisan kepimpinan untuk memperbaiki dan juga menyusun semula sesetengah tempat yang terkesan (dengan kemelut), alhamdulillah ia telah pulih seperti sedia kala.

“Ini terbukti apabila majlis-majlis besar yang kita adakan seperti iftar di bulan Ramadan, sambutan Aidilfitri di mana sambutan yang ditunjukkan bukan sahaja ahli Bersatu tetapi rakyat jelata hadir dalam jumlah yang luar biasa,“ katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Bersatu Selangor di Pusat Konvensyen Idea (IDCC) Shah Alam hari ini.

Untuk rekod, parti itu sebelum ini berdepan kemelut dalaman serius sehingga menyaksikan timbalan presidenya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan beberapa pimpinan tertinggi lain dipecat daripada parti.

Malah dalam sidang media selepas konvensyen, Muhyiddin menegaskan, pemulihan parti yang menunjukkan perkembangan positif itu secara tidak langsung menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa Bersatu akan hancur susulan kemelut berkenaan.

Malah, katanya, ketika ini hampir kesemua lantikan di negeri dan bahagian yang terkesan dengan kemelut pemecatan dan peletakan jawatan pimpinan hampir selesai sepenuhnya.

“Setakat ini lantikan kebanyakan telah selesai hanya ada satu dua yang belum selesai. Itu pun terpencil,” katanya.

Bersatu pada 13 Februari lalu memecat 17 ahlinya membabitkan beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, termasuk empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Mereka ialah Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Larut dan Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.

ADUN Sungai Manik merangkap Ahli MPT, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Bemban merangkap Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Setiausaha Bersatu Sabah merangkap Ketua Bersatu Libaran, Yunus Nurdin.

Selain itu, Ketua Bersatu Teluk Intan Kamaruddin Majid; Ahmad Ishak (Gopeng); Mohd Hassundi Hamzah (Larut) dan Mhod Yunus Mhd Yusop (Tapah); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Ramlan Meon (Tangga Batu) dan Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun).

Turut dipecat ialah Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norsahar dan Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Yang pekak sudah tiada dalam Bersatu – Azmin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast