SHAH ALAM – Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memulakan Konvensyen Bersatu Selangor dengan serangan sinis terhadap bekas pemimpin parti itu yang dipecat.
Berucap di pentas yang turut dihadiri Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau berkata, parti kini telah ‘bersih’ daripada golongan penentang.
“Yang pekak sudah tidak ada dalam parti Bersatu,” katanya ketika ucapan pembukaan Konvensyen Bersatu Selangor di Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam hari ini.
Turut hadir dua Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Radzi Jidin.
Dalam ucapan sama, Mohamed Azmin menegaskan, Muhyiddin tidak perlu khuatir dengan ‘pemergian’ beberapa bekas pemimpin parti kerana mereka boleh digantikan.
“Hilang seorang tumbuh seribu bersama Tan Sri,” katanya lagi.
Dalam acara sama, Mohamed Azmin mengumumkan enam individu antaranya bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sirajuddin Salleh secara rasminya menyertai parti berkenaan.
Antara lain adalah bekas bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Dr Mohamed Malik Mohamed Rapiee, mantan Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, Muhammad Najmi Samsudin dan pempengaruh, Iskandar Khoo Kuan Yiew.
Untuk rekod, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang merupakan Timbalan Presiden Bersatu dan Ketua Pembangkang, dipecat daripada parti berkuat kuasa 13 Februari 2026.
Pemecatan itu didakwa berpunca daripada tindakan beliau memulakan rundingan dengan UMNO tanpa pengetahuan parti.
Keputusan berkenaan dibuat oleh lembaga disiplin selepas siasatan dijalankan serta peluang membela diri diberikan. – MalaysiaGazette
















