KUALA LUMPUR – Seorang pemandu bas ditahan selepas melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh tiga buah kereta dalam kejadian di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, bas yang dipandu suspek dipercayai gagal mematuhi isyarat lalu lintas sebelum terlibat kemalangan yang turut menyebabkan kerosakan kepada beberapa kenderaan lain.
Katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.06 malam hari sama.
“Siasatan awal mendapati seorang pemandu kereta mengalami kecederaan ringan manakala pemandu lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Pemandu bas berkenaan, seorang lelaki warga tempatan, telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 April bagi membantu siasatan.
Shamsudin menegaskan, pihaknya memandang serius kesalahan melanggar peraturan jalan raya dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang ingkar.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Nazar Md Kasim di talian 012-5653395 atau Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di 03-79662222 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















