Radin Imran Radin Mohd. Yassin ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan esok bagi menyambung perbicaraan lima ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang menghadapi sembilan pertuduhan berkaitan keganasan.

Prosiding itu dijadual didengar di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor dan ditetapkan selama empat hari sehingga Khamis ini.

Pada perbicaraan minggu lalu, pegawai tangkapan, Asisten Superintendan (ASP) Cassidy Anak Banta, 42, menceritakan reaksi ibu bapa penyerang, Radin Luqman Radin Imran ketika polis memaklumkan kematian anaknya dalam serangan itu.

Cassidy berkata, bapa penyerang, Radin Imran Radin Mohd. Yassin (tertuduh pertama) meluahkan kekesalannya kerana tidak diajak anaknya menyertai serangan tersebut pada 17 Mei 2024.

Menurut saksi pendakwaan kelima (SP5) itu, ibu penyerang, Rosna Jantan (tertuduh ketiga) pula menyatakan `Alhamdulillah, baguslah tu’ ketika dimaklumkan kematian anaknya.

Mengikut pertuduhan, ibu penyerang balai, Rosna, 61, didakwa atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 dan 17 Mei 2024.

Bapa penyerang, Radin Imran, 64, pula didakwa atas empat pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas.

Sementara itu, adik-beradik penyerang, Radin Romyullah, 36, juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh di sebuah rumah di lokasi sama.

Dua anak perempuan Radin Imran iaitu Farhah Sobrina, 25, dan Mariah, 20, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkenaan berkaitan ideologi keganasan.

Dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, Ahmad Azza Fahmi, 24, dan Muhamad Syafiq, 26, terkorban manakala Mohd Hasif, 40, cedera ditembak di bahu dan punggung kiri. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast