Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 APRIL 2026

KUALA LUMPUR – Isteri yang dicederakan oleh suami berhak menuntut perceraian di Mahkamah Syariah berdasarkan Akta Undang-Undang Keluarga Islam.

Jika perbuatan tersebut menyebabkan keguguran janin yang dikandungkannya, suami telah melakukan kesalahan jenayah dan wajib membayar pampasan berbentuk ‘ghurrah’ mengikut hukum syarak.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fawwaz Fadzil berkata, ijmak bersepakat bahawa pampasan wajib dikenakan apabila menyebabkan keguguran janin iaitu ghurrah dengan membebaskan seorang hamba lelaki atau perempuan yang nilainya menyamai lima ekor unta.

“Keganasan rumah tangga yang melibatkan perlakuan suami mencederakan isteri yang hamil adalah haram dan berdosa.

“Perlakuan ini bukan sahaja haram di sisi syarak namun terdapat implikasinya dari sudut undang-undang di Malaysia,” ujarnya.

Perkara itu dihuraikan menerusi ruangan Bayan Linas Siri Ke-345, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan ketika menjawab soalan umum yang menyentuh hukum mencederakan isteri hamil sehingga menyebabkan keguguran.

Media semalam melaporkan, seorang penjawat awam cedera di badan dan lebam di muka selepas dipercayai dipukul suaminya hingga menyebabkan kandungan berusia 12 minggu gugur.

Dalam kejadian di Sungai Petani, Kedah, mangsa berkahwin dengan lelaki berusia 43 tahun itu pada Disember tahun lalu di negara jiran dan belum mendaftar perkahwinan mereka di negara ini.

Abang mangsa, Mohd Firdaus Moktar, 45, berkata adiknya yang berusia 39 tahun itu kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Mangsa dan suaminya bertengkar Khamis lalu sebelum wanita itu dipukul menggunakan penyangkut baju, getah paip dan batang besi langsir serta batang penyapu hingga patah.

Dalam kejadian itu, tangan dan jari kiri mangsa patah, lebam di muka selain ditumbuk di perut.

Mufti turut menjelaskan, syariat Islam sememangnya memberi ruang kepada suami untuk memukul isteri yang benar-benar tidak mentaati suaminya dan terus nusyuz.

Pukulan itu bagaimanapun bertujuan mendidik dengan syarat ia  adalah tidak bersangatan, tidak melukakan atau tidak membahayakan tubuh badan isteri.

“Terdapat syarat-syarat lain seperti larangan menggunakan alatan yang keras atau tidak memukul di bahagian muka, kepala, perut, dada yang dikhuatiri menyebabkan kecacatan atau kematian.

“Menurut Imam al-Syafi’i, jika isteri cedera atau meninggal dunia disebabkan pukulan tersebut, maka suami wajib membayar ganti rugi,” jelas mufti.

Katanya, menurut undang-undang jenayah syariah, keganasan rumah tangga merupakan alasan kukuh untuk isteri menuntut cerai secara fasakh dan suami boleh didakwa atas tuduhan berkenaan.

Merujuk Seksyen 52 Akta 303 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 bahawa mahkamah boleh mengeluarkan perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast