Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat

KUALA LUMPUR – Polis Kelantan membuka kertas siasatan berhubung video tular seorang individu didakwa mengeluarkan kenyataan memperlekeh anggota pasukan itu yang bertugas dalam sekatan jalan raya.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan dimulakan ekoran laporan yang dibuat oleh seorang pegawai kanannya hari ini.

Siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan,  Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, ujarnya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook.

Menurut Mohd. Yusoff, rakaman itu memaparkan seorang individu lelaki sedang memperlekeh dan memperbodoh anggota polis bertugas dan video tular itu dimuat naik melalui pautan berikut: https://web.facebook.com/real/2053324832230164.

“Siasatan awal mendapati individu berkenaan mendakwa berjaya melepasi beberapa sekatan jalan raya dengan cara memperdaya anggota bertugas.

“Kenyataan itu tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif serta boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat di samping menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti polis,” ujar kenyataan itu.

Polis turut menegaskan, tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang cuba memperlekeh tugas pasukan keselamatan atau menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Ujarnya, sebarang perbuatan yang boleh menjatuhkan kehormatan pasukan atau menghakis keyakinan orang ramai, akan diambil tindakan tegas tanpa toleransi.

Polis turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial serta tidak menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebarkan kandungan yang boleh memnceteruskan kegusaran awam.

Sebarang maklumat berkaitan kes itu boleh disalurkan kepada polis untuk membantu siasatan.

Sementara itu di Kota Bharu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri tidak terlibat dalam penganjuran konvoi motosikal menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) semalam.

Sebaliknya beliau berkata, penganjuran itu adalah inisiatif individu namun semua pihak perlu mematuhi undang-undang, khususnya di kawasan awam dan kawasan sensitif seperti lapangan terbang.

“Kerjasama semua pihak penting bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara dan tidak menjejaskan operasi di kawasan berkenaan,” katanya kepada wakil media.

Semalam, ‘Konvoi dan Lepak Anak Muda Bersama YB YB’ anjuran Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan Pemuda Pas Kelantan mendapat kecaman hebat di media sosial susulan atur cara program terbabit menyatakan antara lokasi yang akan dikunjungi ialah LTSIP, Pengkalan Chepa.

Konvoi yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud sekitar pukul 5 petang semalam, bermula dari Kota Lama-LTSIP Pengkalan Chepa – Bandar-belakang AEON Mall. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast