Sulastri menunjukkan sebahagian lauk pauk yang dijual di Restoran Bawah Kolong, Kluang, hari ini.

KLUANG – Pengusaha Restoran Bawah Kolong di sini mengambil pendekatan tidak menaikkan harga jualan meskipun terpaksa berhadapan kenaikkan harga bahan mentah sejak akhir-akhir ini.

Sulastri Kasiman, 43, berkata, langkah itu diambil bagi memastikan jumlah kehadiran pelanggan setiap hari tidak merosot.

“Walaupun langkah yang diambil ini menjejaskan perolehan jualan namun paling penting adalah tidak kehilangan pelanggan yang selama ini sentiasa menyokong perniagaan diusahakan sejak lebih 10 tahun lalu.

“Memang tidak dinafikan ada bahan-bahan mentah sudah naik harga namun pada kadar yang masih mampu diserap tanpa mengurangkan kualiti masakan seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, jika ada pihak yang mengatakan pihaknya tidak terjejas dengan apa yang berlaku sekarang, mereka tidak berada sebagai penjual makanan yang setiap hari berurusan dengan pembekal bahan-bahan asas.

“Keutamaan saya adalah pelanggan, kepuasan hati mereka apabila menjamu selera di Restoran Bawah Kolong perlu dijaga kerana apabila mereka tidak lagi mahu datang kerana harga makanan sudah menjadi satu kehilangan bagi seorang peniaga.

“Ini bukan bermakna kami mengharapkan pelanggan sama untuk datang setiap hari namun kepuasan setiap pelanggan itu pasti akan disebar luaskan kepada pelanggan-pelanggan lain datang makan ke sini,” katanya.

Sulastri dalam pada itu turut mengharapkan pelanggan memahami situasi yang terpaksa dihadapi peniaga makanan sepertinya kerana semua orang tahu bahawa kenaikkan harga bahan asas tidak dapat dielak pada masa ini.

“Kami amat bimbang orang ramai menjangkakan akan berlaku kenaikkan harga makanan namun atas inisiatif tersendiri ia dapat dielakkan demi memenuhi kepuasan pelanggan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast