MELAKA – Wakil rakyat yang tidak hadir secara konsisten ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa alasan munasabah atau disyaki menyalahgunakan sijil cuti sakit (MC) wajar dikenakan tindakan termasuk penggantungan gaji.
Cadangan ditujukan buat ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis itu dibangkitkan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) ketika sesi soal jawab lisan pada Persidangan Pertama Penggal Kelima DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Beliau berkata, tindakan tegas itu wajar dipertimbangkan bagi memastikan setiap wakil rakyat menjalankan tanggungjawab dengan amanah, selain mengelakkan penyalahgunaan alasan seperti MC yang diragui kesahihannya.
“Saya rasa mungkin boleh dibincangkan atau dipertimbangkan oleh dewan yang mulia ini agar mana-mana YB yang tidak mahu hadir dengan gigih ke sidang dewan, tidak berkhidmat di kawasan, apatah lagi jika dilihat menipu dengan sijil cuti yang mungkin tidak sah.
“Mungkin boleh dipertimbangkan untuk digantung penggajiannya setiap bulan. Jangan digajikan kerana ini duit rakyat. Kalau tak datang kerja, saya rasa tidak adil kepada rakyat,” katanya.
Cadangan itu mendapat sokongan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh (BN-Merlimau) yang melihat idea berkenaan sebagai sebahagian usaha memperkukuh kebertanggungjawaban ADUN kepada rakyat.
“Saya sangat setuju cadangan itu. Gaji kita dibayar oleh rakyat, berbelas ribu sama ada kerajaan mahu pun pembangkang.
“Maka tanggungjawab wakil rakyat adalah hadir ke sidang dewan, berbahas atau sekurang-kurangnya mengemukakan soalan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyindir Muhamad Jailani yang juga Setiausaha Pas Melaka kerana didakwa tidak mengemukakan sebarang soalan selain tidak hadir ke sidang, namun mampu menghadiri program politik Pas.
“Soalan YB Rembia kosong, lisan mahupun bertulis. Dahlah tak bagi soalan, ponteng pula. Kalau sakit, saya faham, mungkin kaki retak, dua bulan MC (cuti sakit).
“Tapi kalau sakit, buat cara sakit. Ceramah politik boleh pergi pula. Malah kenyataan dikeluarkan menyatakan pelancaran jentera parti lebih penting daripada hadir sidang dewan,” katanya.
Terdahulu, isu ketidakhadiran Muhamad Jailani ke sidang DUN menjadi perhatian selepas beliau memaklumkan sedang bercuti sakit, namun hadir ke program pelancaran jentera pilihan raya Pas malam Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Speaker DUN, Datuk Ibrahim Durum menjelaskan kehadiran setiap ahli dewan tertakluk kepada Peraturan 34 serta Perkara 17 Perlembagaan Negeri.
Beliau berkata, setiap ahli perlu memaklumkan kepadanya atau Setiausaha Dewan sekiranya tidak dapat menghadiri persidangan.
“Surat makluman daripada ADUN Rembia sudah diterima sehari sebelum persidangan. Mengikut Perkara 17, jika seseorang ahli tidak hadir ke setiap persidangan dalam tempoh enam bulan tanpa kebenaran dewan, maka kerusinya boleh diisytiharkan kosong.
“Bagaimanapun, setakat ini ADUN Rembia masih belum melanggar peruntukan perlembagaan berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















