Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang penjenayah buruan warga Jepun yang melarikan diri selama tujuh tahun selepas dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan di negara asalnya pada 2018.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Datuk M. Kumar berkata, tangkapan itu hasil kerjasama rapat antara PDRM dengan pihak berkuasa Jepun, termasuk penggunaan maklumat daripada Notis Merah (Red Notice) Interpol bagi mengesan dan menahan suspek.

Menurut beliau, suspek yang pada awalnya disiasat di bawah kesalahan dadah berbahaya turut dikesan menggunakan identiti palsu serta memiliki kewarganegaraan Myanmar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Hasil siasatan saintifik dan forensik mengesahkan identiti sebenar suspek melalui perbandingan pengecaman wajah dan profil DNA yang diperoleh daripada pihak Jepun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, analisis tersebut dijalankan oleh Jabatan Kimia Malaysia bersama Bahagian Forensik Databank DNA Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum disahkan padanan positif.

Suspek kini telah dituduh di Mahkamah Alor Setar pada 27 Ogos 2025 atas beberapa pertuduhan termasuk di bawah Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Bagi kesalahan dadah, suspek berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, manakala kesalahan imigresen boleh membawa hukuman penjara sehingga lapan bulan dari tarikh tangkapan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast