SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk ubat-ubatan tidak berdaftar dan racun terkawal dua hari berturut-turut membabitkan jumlah rampasan RM7.74 juta.
Komander AKPS KLIA, Mohd Safrie Zakaria berkata, kejayaan itu melibatkan dua tangkapan berasingan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.
Menurut beliau, kes pertama membabitkan penahanan seorang lelaki warga China berusia 40 an yang tiba dari Bangladesh yang ditahan di Terminal 1 kira-kira pukul 3.30 pagi, kelmarin melibatkan nilai rampasan ubat RM2.34 juta.
“Hasil pemeriksaan ke atas bagasi mendapati suspek membawa sebanyak 3,300 unit ubat suntikan berlabel Tirzide yang disyaki tidak berdaftar.
“Produk tersebut dipercayai mengandungi Tirzepatide, iaitu bahan racun terkawal di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, kes kedua membabitkan seorang wanita 50-an yang tiba dari Bangladesh dan ditahan di Terminal 2 KLIA kira-kira pukul 5.30 pagi, semalam.
“Pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 8,840 unit ubat suntikan yang disyaki tidak berdaftar, termasuk jenama Tirzide dan Tirzep dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM5.4 juta,” katanya lagi.
Ujarnya, kedua-dua kes kini disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952 serta Akta Racun 1952.
Mengulas lanjut, Mohd Safrie berkata, siasatan awal mendapati, ubat-ubatan itu dikeluarkan di Bangladesh dan dipercayai untuk dijual di pasaran China.
Jelasnya, ubat-ubatan itu ditahan kerana dibawa dalam kuantiti besar dan bukannya dalam bagasi peribadi yang biasa ditemukan dalam jumlah kecil.
“Ubat-ubatan yang dirampas termasuk antibiotik, ubat bagi penyakit kencing manis serta produk kurus badan yang tular di pasaran.
“Nilai ubat-ubatan tersebut dianggarkan antara RM300 hingga RM1,800 bergantung kepada jenis, termasuk yang dijual dalam bentuk pen seperti insulin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

















