Bangunan Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur. foto AIZAT ZAINAL, 06 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME Stabilisation Relief Facility, SME SRF), pembiayaan berjumlah RM5 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk perusahaan mikro, yang terjejas oleh konflik semasa di Asia Barat.

SME SRF akan menyediakan pembiayaan modal kerja bagi membantu perniagaan yang berdaya maju untuk meneruskan operasi dan mengharungi tempoh ketidakpastian ini. PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan hingga RM750,000 untuk tempoh sehingga lima tahun, dengan kadar pembiayaan maksimum sebanyak 3.75% setahun (termasuk yuran jaminan).

Pembiayaan ini akan disokong oleh jaminan hingga 80% daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), terutamanya bagi PKS yang tidak mempunyai cagaran yang mencukupi.

Menurutnya, permohonan untuk SME SRF akan dibuka mulai 15 Mei 2026 hingga 31 Disember 2026, atau sehingga kemudahan ini digunakan sepenuhnya.

PKS boleh memohon secara terus kepada institusi kewangan peserta, termasuk bank perdagangan, bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM.

Tambah BNM, dalam persekitaran semasa, BNM amat menggalakkan perniagaan yang menjangkakan atau sudahpun mengalami kesukaran kewangan untuk berhubung lebih awal dengan institusi kewangan masing-masing.

“Tindakan proaktif membolehkan bank bekerjasama dengan peminjam untuk mengenal pasti penyelesaian yang sesuai, termasuk fleksibiliti bayaran balik pinjaman, penstrukturan semula kemudahan pembiayaan, atau langkah-langkah sokongan lain yang disesuaikan untuk membantu perniagaan kekal berdaya maju.

“Institusi kewangan sentiasa bersedia untuk membantu dan komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan PKS yang terkesan sepanjang tempoh ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, PKS juga boleh mendapatkan khidmat nasihat kewangan, sokongan pendidikan kewangan, serta bantuan khidmat nasihat bayaran balik pinjaman secara menyeluruh daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) untuk individu dan peniaga milikan tunggal serta Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) untuk PKS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast