Mohd Fahmi Kamarudin

MAKKAH – Operasi Maktab Lembaga Tabung Haji (TH) memainkan peranan kritikal dalam pengurusan haji Malaysia di Tanah Suci bagi memastikan jemaah dapat melengkapkan kesemua rukun dan ibadat haji.

Pengarahnya, Mohd Fahmi Kamarudin berkata, operasi maktab bermula dari kedatangan jemaah ke Makkah sehingga selesai ibadat haji.

“Peranan maktab ini penting kerana ia merupakan satu operasi melibatkan pergerakan besar-besaran jemaah haji mengikut susun atur yang ditetapkan oleh Kerajaan Haji dan Umrah Arab Saudi.

Katanya, tahun ini, TH menyediakan enam maktab muasasah yang menempatkan 22,120 jemaah haji di bawahnya.

Ia termasuk penginapan baharu di Hotel Kiswah, yang menempatkan 6,000 jemaah haji yang menggantikan hotel lama.

Katanya, setiap maktab mempunyai mempunyai klinik, pejabat operasi TH yang menempatkan petugas dan pembimbing ibadat haji.

PAda tahun ini, TH juga menambah baik pengendalian bagasi jemaah haji dan perkhidmatan penghantaran barang-barang kiriman jemaah haji ke tanah air di semua maktab termasuk di penginapan di bawah Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Selain itu, TH juga menyediakan kafe di bawah kelolaan TH Travel bagi memastikan masakan yang dimasak atau yang dijual memenuhi cita rasa jemaah Malaysia dengan harga berpatutan.

Dalam pada itu, Mohd Fahmi menambah, TH masih mengekalkan peranan Sahabat Maktab dalam operasinya.

Untuk tahun ini, TH masih mengekalkan jumlah antara 30 hingga 35 Sahabat Maktab bagi setiap maktab bagi tiga kategori iaitu Sahabat Hujjaj, Sahabat Medik dan Sahabat Ibadah.

Sahabat Maktab ini merupakan pembantu atau sukarelawan yang membantu petugas haji dalam operasi di maktab masing-masing.

Menurut beliau, peranan Sahabat Maktab ini lebih menonjol semasa masyair.

“Mereka akan memastikan pergerakaan jemaah dari bangunan penginapan menaiki bas, ketika jemaah tiba di Arafah, Mudzalifah dan Mina. Sahabat Maktab ini juga akan membantu petugas haji menempatkan jemaah dalam kawasan khemah yang ditetapkan.

“Sahabat ini juga akan pastikan jemaah haji dalam keadaan selesa bagi melaksanakan ibadah haji di setiap tempat-tempat yang penting,” katanya kepada media di sini.

Jemaah haji boleh memohon di pejabat operasi maktab dan proses pemilihan yang komprehensif dan telus akan dilakukan bagi memastikan pemilihan memenuhi keperluan dan keupayaan maktab masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast