PENDANG – Ribut yang melanda Kedah petang semalam menyebabkan 11 buah sekolah di tiga daerah terjejas, dengan kawasan Pendang paling teruk apabila enam sekolah mengalami kerosakan.
Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat dilaporkan berkata, kejadian antara pukul 4.30 hingga 6 petang itu turut memberi kesan kepada empat sekolah di Kulim Bandar Baharu serta sebuah di Kota Setar.
Beliau memaklumkan, pemeriksaan awal mendapati insiden berkenaan hanya melibatkan kerosakan kemudahan sekolah tanpa membabitkan sebarang kecederaan.

“Tindakan pantas diambil oleh Jabatan Pendidikan Negeri bersama Pejabat Pendidikan Daerah dan pentadbiran sekolah untuk menilai tahap kerosakan serta memulakan kerja pembaikan.
“Dalam masa sama, usaha sedang dipergiat bagi mempercepatkan penyaluran bantuan supaya sesi pembelajaran tidak terganggu terlalu lama,” katanya.
Katanya, selain Akademi Sains Pendang, dua sekolah lain di sini turut terjejas teruk iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Hj Mohamad Arif dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Puteh Dalam.
“Kerosakan di SK Hj Mohamaf Arif agak serius dan pelajar Prasekolah dan Tahap Satu seramai 600 murid dibenarkan menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula Selasa hingga Khamis.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Shahrizal Mohd Saderi berkata, 582 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang dibenarkan pulang dan mengikuti PdPR sebelum kembali ke asrama pada Ahad.
“Keadaan kini terkawal dan kerja penilaian kerosakan akibat ribut itu sedang dijalankan. Kita juga sedang menguruskan peruntukan khas serta mengenal pasti kontraktor bagi mempercepatkan kerja baik pulih,” katanya.
Menurut beliau, anggaran awal kos pembaikan adalah sekitar RM1.5 juta dan permohonan peruntukan kecemasan sedang diusahakan. – MalaysiaGazette
















