Pegawai tentera disyaki mabuk menyebabkan seorang maut dalam nahas di Lebuh Raya MEX, baru-baru ini. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai tentera yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan maut di Lebuhraya Maju (MEX) disambung reman hingga esok, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, setakat ini seramai 12 saksi telah dirakam keterangan, manakala kertas siasatan masih belum lengkap.

“Kertas siasatan akan dirujuk esok pagi bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, mahkamah membenarkan suspek direman selama lima hari sehingga semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada 23 April lalu, suspek yang memandu sebuah Ford Fiesta dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah Perodua Alza yang beroperasi sebagai kenderaan e-hailing.

Kemalangan kira-kira pukul 5.38 pagi di Kilometer 1.9 lebuh raya MEX dari arah Salak Selatan menuju ke Jalan Tun Razak itu mengorbankan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 22 tahun yang juga pencipta kandungan terkenal, selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi penumpang wanita warga Bangladesh berusia 20 tahun turut cedera dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Turut mengalami kecederaan ialah pemandu e-hailing serta seorang penumpang wanita berusia 36 tahun yang berada dalam Ford Fiesta tersebut.

Siasatan awal mendapati kenderaan e-hailing itu sedang membawa dua penumpang warga Bangladesh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika kejadian berlaku.

Hasil ujian pernafasan terhadap suspek mendapati bacaan alkohol melebihi had dibenarkan, manakala ujian air kencing pula negatif dadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast