KUALA LUMPUR – Pasukan Khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menahan seorang lelaki tempatan dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan diesel bersubsidi, semalam.
Dalam operasi hasil risikan dan pemantauan berterusan itu, suspek berusia 35 tahun yang merupakan pemandu lori ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen sah bagi membawa barang kawalan berjadual jenis bahan api diesel.
Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada rampasan sebuah lori yang telah diubah suai dengan tiga tangki tambahan berkapasiti keseluruhan 3,000 liter serta 1,500 liter minyak diesel.
Menurut kenyataan KPDN, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM51,500, manakala kerugian subsidi kerajaan boleh mencecah RM11,880 sekiranya tangki tambahan tersebut diisi penuh.
“Siasatan awal mendapati kenderaan terbabit membuat pembelian diesel di beberapa stesen minyak sekitar Lembah Klang sebelum dibawa ke stor berhampiran untuk tujuan penyimpanan dan penyelewengan.
“Terdapat juga individu bertindak sebagai ‘runner’ yang berurusan di kaunter menggunakan kad armada serta membuat pembayaran secara tunai,” menurut kenyataan itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau permit sah.
Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta.
Sementara itu, Pengarah KPDN WPKL, Mohd Sabri Seman menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas subsidi kerajaan.
“Keberhasilan tangkapan ini membuktikan komitmen berterusan Pasukan Khas KPDN WPKL dalam membanteras ketirisan minyak diesel bersubsidi.
“Tindakan tegas termasuk cadangan pembatalan atau penggantungan kelulusan kad armada akan diambil terhadap pihak yang didapati menyalahgunakan kemudahan di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS),” katanya.
Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak KPDN bagi membantu usaha membanteras aktiviti berkenaan. – MalaysiaGazette
















