BUKIT MERTAJAM – Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyerbu sebuah stor berlesen di Simpang Ampat di sini, hari ini.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, serbuan hasil risikan selama dua minggu itu membawa kepada rampasan kira-kira 24,000 liter minyak disyaki diesel serta tangkapan seorang lelaki tempatan.
“Kita turut merampas beberapa kenderaan dan peralatan dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan termasuk dua skid tank, sebuah lori 18 tan yang diubah suai tangki asal, lori tangki 21,400 liter serta set pam motor bersama hos paip dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM400,000.
“Kes disiasat di bawah Peraturan 3(1) dan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjual dan membeli barang kawalan tanpa lesen serta daripada sumber tidak sah.
“Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan berulang,” katanya hari ini.
Tambah beliau, KPDN akan terus mempergiatkan pengawasan dan rondaan bagi membanteras aktiviti penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi di negeri itu.
“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam ketirisan diesel bersubsidi yang menjejaskan kepentingan awam,” katanya.
Orang ramai turut diseru menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi melalui WhatsApp 019 848 8000, portal https://eaduan.kpdn.gov.my, talian 1-800-886-800 atau aplikasi EzADU KPDN. – MalaysiaGazette
















