PUTRAJAYA — Tindakan kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan yang sebelum ini menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun disifatkan sebagai berniat baik demi memastikan institusi raja dan adat negeri terus dihormati serta didukung semua pihak.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan berkenaan tidak harus disalah tafsir kerana ia dibuat dengan tujuan memperkukuh kedudukan institusi berkenaan, khususnya dalam kalangan wakil rakyat daripada UMNO dan BN.
Menurutnya, langkah tersebut bagaimanapun telah menimbulkan pelbagai persepsi dan tafsiran yang berbeza daripada niat asal ADUN terbabit.
“Saya ingin menyebutkan bahawa langkah yang dibuat oleh 14 ADUN di Negeri Sembilan adalah merupakan satu langkah yang berniat baik agar institusi raja dan institusi adat di Negeri Sembilan dapat dihormati dan dapat didukung oleh semua rakyat di Negeri Sembilan, khususnya oleh ADUN-ADUN daripada UMNO dan BN,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Forum ‘Mydigital ID: Powering Trusted Digital Access Across Malaysia’s Digital Ecosystem’, hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan kesemua 14 ADUN berkenaan bagi memperjelaskan keadaan sebenar dan membetulkan persepsi yang timbul dalam kalangan rakyat.
Hasil penemuan itu, Ahmad Zahid berkata langkah menarik sokongan terhadap Aminuddin itu masih berjalan kepada namun masih bersama-sama kerajaan perpaduan di negeri berkenaan.
“Kita menghormati keputusan yang dibuat oleh ADUN-ADUN berkenaan, tetapi parti di peringkat nasional dan juga semua ADUN-ADUN yang telah saya temui itu bersetuju supaya kita terus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan agar tidak berlaku sebarang aktiviti menggugat kesejahteraan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, tindakan itu sama sekali tidak bertujuan menebuk atap atau membentuk kerajaan negeri melalui pintu belakang seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan semua ke-14 ADUN daripada Negeri Sembilan itu untuk melihat semula bahawa dengan tidak berhajat untuk kita retract (tarik sokongan).
“Tetapi kita mahu membetulkan persepsi yang ada bahawa usaha yang dilakukan oleh mereka bukan berhasrat untuk menebuk atap atau membentuk kerajaan negeri melalui pintu belakang,” jelasnya lagi.
Sebalik itu jelasnya, usaha tersebut adalah bagi memastikan institusi raja dan adat di Negeri Sembilan terus berfungsi dengan baik serta dihormati semua pihak.
Pada masa sama, keputusan hasil perbincangan bersama kepimpinan parti dan ADUN terlibat menunjukkan kesepakatan untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang penggugatan politik yang boleh menjejaskan kestabilan negeri dan kebajikan rakyat keseluruhannya. – MalaysiaGazette
















