KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mengesahkan Amir Hamdan akan menamatkan perkhidmatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO) selepas hampir lapan tahun bersama Prasarana.
Prasana dalam satu kenyataan berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya, Amir telah memainkan peranan penting dalam memacu pelbagai inisiatif transformasi dan memperkukuh operasi syarikat dalam memastikan operasi perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik kepada rakyat.
Menurutnya, keputusan Amir meninggalkan Prasarana adalah atas sebab-sebab peribadi, selaras dengan perancangan beliau untuk langkah seterusnya.
“Prasarana merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan, dan mendoakan yang terbaik dalam perancangan masa hadapan beliau,” katanya.
Tambahnya, maklumat lanjut berhubung kesinambungan kepimpinan syarikat akan dimaklumkan melalui saluran komunikasi rasmi Prasarana.
Amir sebelum ini dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa 15 Ogos tahun lalu, selepas menyertai Prasarana pada 2019. – MalaysiaGazette
















