MELAKA – Taktik licik memasarkan aksesori telefon kononnya original dari California terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menyerbu sebuah gudang produk tiruan di Cheng, di sini, semalam.
Pengarah KPDN Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, serbuan kira-kira jam 11 pagi itu dilakukan hasil aduan pemilik cap dagangan berdaftar selepas curiga dengan jualan produk jenama terkenal itu pada harga tiga kali ganda lebih murah berbanding jenama original.
Menurutnya, serbuan yang disertai pengadu turut berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai pengurus premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 31,279 unit aksesori telekomunikasi tiruan membabitkan pelbagai jenama terkenal dunia, antaranya sarung telefon, fon telinga, ‘AirPods’, kabel pengecas serta kotak telefon.
“Semua barangan ini dipercayai diimport sebelum dibungkus semula di gudang berkenaan bagi menyerupai produk asli, kononnya dari California,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, nilai rampasan dianggarkan RM132,086 dan ia merupakan kejayaan terbesar KPDN Melaka dalam tempoh 10 tahun melibatkan rampasan barangan tiruan.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan modus operandi menjual produk melalui platform e-dagang dan media sosial, selain mengedarkannya ke pasaran tertentu melalui rangkaian ejen.
“Barangan ini dijual kira-kira tiga kali ganda lebih murah daripada harga asal, menyebabkan ramai pengguna terpengaruh untuk memilikinya selain turut disertakan kad waranti dari California.
“Kita percaya kegiatan ini telah beroperasi kira-kira tiga tahun dengan anggaran jualan lebih RM1 juta setiap tahun,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana memiliki dan menggunakan cap dagangan palsu.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap unit barangan tiruan atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette
















