Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

JOHOR BAHRU – Tentera Darat Malaysia (TDM) sudah melaksanakan siasatan dalaman berhubung kes seorang anggota komando muda yang cedera parah selepas insiden ketika latihan didakwa berlaku di Kem Iskandar, Mersing pada 11 Mac lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hasil siasatan itu akan dimajukan dalam masa terdekat dan kes tersebut kini dalam perhatian pihak polis untuk tindakan sewajarnya.

Tambah beliau, dua anggota dipercayai terlibat dalam insiden tersebut.

“Tindakan sewajarnya terhadap anggota yang terlibat akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan.

“Kementerian juga memaklumkan bahawa keadaan anggota yang terjejas terus dipantau rapi. Mangsa kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan sedang menjalani rawatan pemulihan di bawah pemantauan pihak perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan mengambil maklum sidang media oleh Lawyers for Liberty (LFL) hari ini berhubung insiden tersebut.

Tegasnya, Kementerian Pertahanan menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/04/30/komando-muda-kritikal-insiden-ketika-latihan-lfl-desak-siasatan-dan-penjelasan-atm/

“Kementerian Pertahanan komited memastikan kes ini ditangani secara telus, adil dan mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Lawyers for Liberty (LFL) menerusi wakilnya, N Surendran dalam sidang media hari ini mendedahkan anggota komando muda terbabit kini bertarung nyawa apabila mengalami kecederaan parah sehingga sebahagian tengkoraknya terpaksa dikeluarkan, akibat insiden ketika latihan di Kem Tentera Komando (Kem Iskandar).

Dalam sidang akhbar yang turut dihadiri ahli keluarga mangsa serta barisan peguam, mangsa, Trooper Abdul Hamid Talib, 25, kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Dimaklumkan beliau dalam keadaan tidak sedarkan diri, tidak mengenali persekitaran, tidak mampu bercakap, menerima pemakanan melalui tiub serta bergantung kepada bantuan pernafasan melalui trakeostomi.

Menurut Surendran, keluarga pada awalnya dimaklumkan mangsa hanya ‘terjatuh’ namun penjelasan itu disifatkan tidak munasabah memandangkan tahap kecederaan yang dialami.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast