MIRI – Seorang lelaki berusia 27 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret II Miri selepas mengaku bersalah atas pertuduhan khianat.
Ibu Pejabat Polis Daerah Miri dalam satu kenyataan di Facebook berkata, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana menyimbah cat berwarna biru pada pagar hadapan sebuah rumah di Ocean Park, kira-kira jam 11.30 malam, 13 Januari lalu.
“Menurut fakta kes, perbuatan itu dipercayai berpunca daripada kegagalan anak pemilik rumah melunaskan pinjaman yang dibuat secara dalam talian,” katanya.
Sementara itu, kenyataan itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan pinjaman tidak sah termasuk sindiket along yang kini turut beroperasi secara dalam talian.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam. – MalaysiaGazette
















