Kebakaran membabitkan lima rumah teres di Taman Ehsan, Kepong, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan lima rumah teres di Taman Ehsan Kepong awal pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.30 pagi.

Katanya, pihak jentera bergegas ke lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian.

Jelasnya, kebakaran membabitkan lima rumah teres satu tingkat kelas A berkeluasan 20 x 60 kaki persegi (111.48 meter persegi).

“Seorang mangsa lelaki tempatan berumur 53 tahun ditemukan rentung di atas katil dalam bilik tidur pada pukul 4.29 pagi,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, kejadian itu turut memusnahkan dua kereta jenis Hyundai Getz dan Hyundai XG 250.

Beliau berkata, sebuah rumah musnah sepenuhnya manakala empat lagi mengalami kerosakan antara 20 hingga 80 peratus.

“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 3.42 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.15 pagi.

“Kerja pemadaman sisa kebakaran masih dijalankan di lokasi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Terdahulu, Ahmad Mukhlis berkata, seramai 27 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dengan bantuan BBP Rawang, BBP Jinjang dan BBP Manjalara digerakkan ke lokasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast