KUALA LUMPUR – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menzahirkan keyakinan bakal Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman akan memimpin institusi itu dengan integriti tinggi, pendirian tegas serta kepimpinan yang berani dan berwibawa.
Naib Pengerusinya, Datuk Seri Dr King Lim Chin Fui berkata, pelantikan Abdul Halim bukan sekadar peralihan kepimpinan, tetapi satu tanggungjawab besar yang berkait rapat dengan kewibawaan negara, kedaulatan undang-undang dan keyakinan rakyat.
Menurutnya, masyarakat hari ini meletakkan harapan yang tinggi terhadap SPRM, justeru kepimpinan baharu perlu membuktikan melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata, bahawa institusi ini benar-benar bebas, profesional dan berkeupayaan melaksanakan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Tegasnya, usaha memerangi rasuah mesti dilaksanakan secara konsisten dan adil, tanpa sebarang persepsi pendakwaan terpilih.
“Setiap kes perlu ditangani berdasarkan fakta dan bukti, tanpa mengira latar belakang, kedudukan atau pengaruh.
“Hanya dengan pendekatan ini keyakinan rakyat dapat diperkukuh secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyatakan bahawa rasuah bukan sekadar isu perundangan, tetapi turut memberi kesan langsung kepada tadbir urus, keyakinan pelabur serta pembangunan negara.
“Negara yang gagal menangani rasuah secara berkesan akan berdepan kelemahan institusi, persaingan yang tidak adil dan kemajuan yang terbantut,” ujarnya.
Dalam pada itu, King Lim menegaskan komitmen MCPF untuk terus menyokong usaha pencegahan rasuah di peringkat nasional.
“Pencegahan jenayah tidak terhad kepada jenayah jalanan. Rasuah adalah jenayah kolar putih yang serius dan menghakis asas negara.
“MCPF bersedia bekerjasama rapat dengan SPRM dalam memperkukuh kesedaran awam, pendidikan integriti dan usaha pencegahan, khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata, rakyat kini menuntut lebih daripada sekadar janji.
“Apa yang rakyat mahu lihat adalah tindakan yang jelas, siasatan yang telus, serta hasil yang mencerminkan keadilan dan keberanian.
“Apabila SPRM berani menyiasat, bertindak dan menjelaskan secara terbuka, keyakinan terhadap institusi ini akan kembali kukuh,” katanya.
King Lim menegaskan bahawa kepimpinan baharu ini merupakan peluang penting untuk memperlihatkan ketegasan Malaysia dalam memerangi rasuah.
“Ketegasan itu mesti diterjemahkan melalui kebebasan institusi, konsistensi dalam penguatkuasaan serta keberanian mengendalikan kes berprofil tinggi dan sensitif.
“Jika ini dapat dizahirkan, ia akan memberi isyarat jelas bahawa Malaysia tidak berkompromi dengan rasuah,” katanya.
Beliau menambah, SPRM perlu terus menjadi antara benteng paling kukuh dalam sistem integriti negara.
“Apa yang diperlukan ialah sebuah institusi yang berkecuali, bebas daripada pengaruh, dan berpegang teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah.
“SPRM memikul tanggungjawab besar untuk mempertahankan integriti negara dan menjunjung kedaulatan undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette
















