MELAKA – Seorang pegawai kanan tentera berpangkat mejar di Kem Terendak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah lebih RM220,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, D Vivekananthan, 43, membuat pengakuan itu sebaik sahaja semua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh sebagai ejen Kerajaan Malaysia iaitu pegawai tentera berpangkat Pegawai Pemerintah 9 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (9 SKN RAJD) Kem Terendak didakwa telah menggunakan dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya iaitu iaitu Kementerian Pertahanan Malaysia.
Tertuduh didakwa telah menggunakan dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya suatu dokumen yang mana Kementerian Pertahanan mempunyai kepentingan dan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai ianya mengandungi butir matan palsu.
Berdasarkan kesemua lima pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan invois palsu membabitkan lima syarikat berbeza yang mana sebenarnya pembekalan bahan mentah dan kerja senggaraan fasiliti pasukan tentera itu tidak dilakukan.
Ia termasuk pembinaan bengkel latihan, pondok skuad, stor latihan, garaj balai pengawal, bilik sejarah serta blok penginapan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat 9 SKN RAJD, Kem Terendak, dalam daerah Melaka Tengah antara 12 Mac 2024 hingga 19 November 2024.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat-syarat tambahan.
Peguam P Thisharmini yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya yang masih berkhidmat dalam tentera sejak 18 tahun lalu merupakan penanggung tunggal isteri, anak, ibu bapa mentua dan adik beradiknya.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 5 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















