PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menggesa Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) segera memulakan rundingan dengan Tennoji Zoo Osaka (ZTO) bagi menilai mekanisme membawa pulang tiga gajah Asia dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK).
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kementerian itu tidak terlibat sebagai pihak dalam perjanjian pemindahan haiwan tersebut.
Katanya, perjanjian berkenaan dibuat secara langsung antara ZTNS dan ZTO melalui kaedah perniagaan ke perniagaan (B2B) oleh pentadbiran terdahulu.
“Walaupun perjanjian ini dibuat sebelum ini, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kebajikan hidupan liar,” katanya dalam sidang media khas di sini, petang semalam.
Menurutnya, langkah rundingan penting bagi menilai keperluan serta proses yang sesuai sekiranya ketiga-tiga gajah itu dibawa pulang ke Malaysia.
Turut hadir Ketua Setiausaha NRES, Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin; Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam), Datuk Mas Rizal Mohd Hilmi; Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim serta Pengerusi Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Datuk Dr. S Kalaivanar. – MalaysiaGazette
















