Seorang pegawai tentera dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur bagi pertuduhan kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk sehingga merempuh kenderaan e-Hailing dan mengakibatkan lelaki warga Bangladesh maut di Lebuhraya Maju (MEX), ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 30 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai tentera didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pempengaruh warga Bangladesh dalam kemalangan di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) pada minggu lalu.

Kapten Jad Faid Arhan, 31, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ili Marisqa Khalizan dan tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah membunuh hingga menyebabkan kematian Muzahid Millad berusia 22 tahun di Kilometer 1.9 Lebuhraya MEX arah Salak Selatan menghala ke arah Jalan Tun Razak  jam 5.30 pagi pada 23 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 754) yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara antara 30 atau 40 tahun, serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Seorang pegawai tentera dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur bagi pertuduhan kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk sehingga merempuh kenderaan e-Hailing dan mengakibatkan lelaki warga Bangladesh maut di Lebuhraya Maju (MEX), ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 30 APRIL 2026.

Sementara itu di hadapan Majistret Tg Syazwany Yasmin Tuan Roslan, dia turut didakwa atas dua pertuduhan memandu kereta jenis Ford Fiesta warna Putih di bawah pengaruh minuman memabukkan hingga tidak berdaya mengawal kenderaan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, perbuatannya itu menyebabkan kecederaan parah kepada pemandu e-hailing, Jailani Sapih, 41 tahun dan penumpangnya, Nafisa  Tabassum Adiba, 20 tahun yang merupakan isteri kepada Mozahi, di tempat dan masa sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun, dan denda tidak kurang daripada RM30,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nordin Ismail bersama Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Nazreen Jaafar Abdullah.

Mohd Nordin ketika prosiding tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan Muhammad Nazreen turut bersetuju dengan cadangan tersebut.

Kedua-dua mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan kerana kesalahan bunuh dan menetapkan 21 Julai depan bagi sebutan semula kes.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, keputusan pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan dirujuk kepada Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sebelum ini, media melaporkan seorang pempengaruh video terkenal Advance Gaming yang juga lelaki Bangladesh maut selepas kenderaan e-hailing dinaikinya terbabit kemalangan di Kilometer 1.9 Lebuhraya Mex pada 23 April lalu.

Kemalangan itu turut menyebabkan kecederaan kepada pemandu dan seorang lagi penumpang yang juga isteri kepada lelaki Bangladesh dalam kenderaan berkenaan yang kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Difahamkan sebelum tragedi, pasangan berkenaan berasal dari Habiganj, Bangladesh dilaporkan baru tiba di Malaysia untuk bercuti selama seminggu di ibu negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast